Sunday, 11 April 2021

Pembantu Rumah & COVID-19

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sudah lebih 2 tahun saya tidak mengemaskini blog ini. Pada tahun 2019 saya agak sibuk dengan kerja dan kehidupan jadi saya tak sempat untuk mengemaskini blog ini selain itu banyak pemasalahan yang berkaitan dengan pembantu rumah telah saya tulis sehingga tiada idea untuk menulis topik baru berkaitan pembantu rumah.
 
Pada tahun 2020 pula COVID-19 telah melanda Malaysia dan merupakan pandemik yang melanda semua negara dibumi ini. Di Malaysia sudah lebih satu tahun kita menghadapi wabak pandemik COVID-19. Kes pertama COVID-19 di Malaysia adalah pada 25 Januari 2020 dan kerajaan Malaysia telah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan pertama (PKP 1.0) pada 18 Mac 2021 yang berlangsung selama 3.5 bulan. Pelbagai masalah yang kita hadapi disebabkan oleh wabak COVID-19 ini, dimana gaya dan cara hidup rakyat Malaysia pun banyak berubah.
 
Banyak sektor ekonomi yang terjejas teruk dan salah satu sektor ekonomi itu ialah sektor pekerja asing dan pembantu rumah. Ini adalah kerana polisi kerajaan Malaysia yang menghalang dan menghadkan kemasukan warga negara asing ke Malaysia bagi membendung COVID-19 daripada terus merebak. Walaupun polisi ini amat baik untuk membendung pandemik COVID-19 tetapi disebabkan polisi ini tiada pembantu rumah baru warga asing yang boleh memasuki Malaysia sehingga hari ini! 
 
Dan setakat ini kita masih tidak tahu sampai bila polisi ini akan berlangsung. Pelbagai andaian dibuat, seperti ada yang mengatakan apabila 80% rakyat Malaysia telah divaksin, selepas 3 tahun dan bermacam-macam teori lagi. 
 
Yang pastinya sekiranya anda ingin mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah warga asing anda terpaksa menggunakan khidmat pembantu rumah warga asing yang masih ada dalam Malaysia. Untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah yang ada di dalam negara juga agak sukar dan banyak masalah. Tetapi sekiranya majikan perlukan khidmat pembantu rumah mereka tetap terpaksa menggunakan khidmat pembantu rumah yang ada di dalam negara walaupun terdapat banyak masalah terutamanya masalah untuk mendapatkan permit kerja yang sah. 
 
InsyaAllah pada masa yang terdekat ini saya akan menulis beberapa artikel berkaitan dengan urusan Pembantu Rumah dalam tempoh pandemik COVID-19.